Monday 19 August 2013

Mr.Hotter Guy Bab 21

Bab 21

            Aku humbankan badan ke katil empuk bersaiz queen itu. Kalau macam ini punya lembut tilamnya alamat tidur matilah aku jawabnya. Hmm…selesa sungguh. Bukan senang nak merasa duduk di hotel bertaraf 5 bintang ini. Baru nak melayan perasan dan tidur sambil tergolek-golek di tilam empuk ini suara deringan telefon menganggu anganku. Dengan malasnya aku capai telefon Nokia murah aku ini.

            “Buat apa?. Jangan nak bergolek sakan. Saya dah kat bawah. Tunggu awak untuk makan”. Terus badan aku tegak dari katil. Suara garau itu dah mula bising. Macam tahu saja aku sedang tergolek di tilam empuk ini.

            “Baik bos. 5 minit lagi saya sampai’. Terus aku matikan telefon. Automatik badan aku turun dari katil. Seminit saja aku tilik badan di cermin. Make up ala kadar, betulkan tudung bawal yang sudah kelepet. Ambil beg tangan. Terus menapak keluar dari bilik tidurku. Berat hati nak tinggalkan tilam empuk itu, tapi memikirkan aku datang sini atas urusan kerja bukan nak makan angin. Terpaksa aku melangkah turun ke lobi.

            Dari jauh aku sudah nampak kelibatnya yang sedang berdiri berdekatan kaunter receptionist. Kacak saja dia dari pandangannya mataku walau dia berpakaian santai saja.

            “Sorry bos. Terlupa pasal dinner malam ni.” Aku dah mengangkat sepuluh jari minta maaf. Terlupa sungguh yang dia ada minta aku turun lepas maghrib kerana hendak dinner sama-sama. Sedap punya pasal tergolek atas tilam empuk itu buat aku lupa pada temujanji yang telah dipersetujui petang tadi.

            “Hmm…jomlah!. Cuma satu saya nak pesan. Jangan bertengkar dengan saya masa makan nanti tau.” Aku sudah kerut dahi tak faham dengan pesanan bos.

Kenapa pulak aku nak bertengkar tak tentu pasal?. Tolak rezeki namanya. Dia senyum tengok aku yang berkerut dahi itu.

            “Tak akan dah lupa kut?. Dulukan awak bertengkar dengan saya. Tak ingat pada Bolognese Carbonara yang awak tinggal macam tu je tanpa jamah sikit pun. Malu saya tahu?. Ditinggalkan terkulat-kulat macam tu!”. Suaranya kedengaran dah meninggi sedikit. Aku pula menggaru kepala yang tidak gatal. Cuba nak tutup kenangan masam itu. Memang masam pun sebab dia yang mula dulu.

            “Kalau bos tak buat pasal macam hari tu. Tak akan saya nak bertengkar tak tentu pasal”. Mulut pula tak reti nak diam. Ada saja dia nak membalas. Spontan aku tutup mulut. Sedar dah terlepas kata. Mulanya muka dia serius. Takut juga kalau dia marah. Tapi lain pula sebaliknya. Tiba-tiba dah bertukar jadi senyum pula.

            “Nurin…Nurin…ada saja nak menjawab.” Balasnya menutup bicara saat kami sudah sampai di tempat makan.


            Rambang mata aku hendak memilih makanan yang dihidangkan secara buffet itu. Boleh kata semua jenis makanan orang Malaysia terhidang di situ. Ada masakan Melayu, Cina, India dan Barat pun ada. Memang class hotel ini. Nama pun hotel 5 bintang.

            Setelah mencedok makanan serba sedikit dan serba satu, terus aku menapak duduk di meja kosong yang menempatkan dua kerusi itu. Encik Luqman Hakimi masih lagi memilih menu yang hendak dijamahnya itu.

            “Sorry…sorang je. May I?”. Tiba-tiba ada suara yang mencelah dari arah belakangku. Terus saja aku memusingkan badan melihat ke wajah pemilik suara itu. Seorang lelaki  tegap dan berambut ala askar itu senyum pandang aku. Smart dan manis saja wajahnya.  Aku kerling pandang sekeliling restoran ini. Banyak lagi meja yang kosong. Kenapalah si mamat smart ni nak mengendeng sebelah aku?.

            “Err…sorry. Bukan tak sudi?. Banyak lagi meja yang kosong. Lagipun saya berteman”. Jawabku lembut. Sekadar hendak mengambil hati. Tak akan aku nak menengking pula dah si mamat smart tu cakap elok-elok dengan aku.

            “Ye ke? Opsst…sorry. Ingatkan sorang tadi. Ingatkan boleh temankan saya?”. Balasnya masih lagi senyum. Hmm…kalau nak banding senyuman si mamat smart ini, manis lagi senyuman si hotter guy. Sempat pula hati membuat perbandingan.

            “Ehem…ehem…”. Ada suara orang sakit kerongkong membuatkan perbualan aku dengan si mamat smart itu terganggu. Pantas mata kami menala ke arah empunya suara. Si Hotter Guy rupanya.

            “Apahal ye?”. Dia sergah dengan nada yang serius. Si mamat smart tu dah terkulat-kulat cuba nak kawal malu.

            “Sorry bro. Ingatkan tadi awek ni sorang. Nak minta dia temankan saya makan”.

            “Lain kali jangan main ingat-ingat. Kalau nak ushar pun, pandang-pandanglah dulu. Awek solo ke awek dah berpunya”. Hailah…garang juga si hotter guy ni. Main sembur ikut sedap mulut je. Bila masa pula aku jadi awek dia?. Aku pula yang terkulat-kulat. Mamat smart tu sudah angkat tangan mohon maaf. Kemudian dia menapak ke arah meja kosong yang setentang dengan kami. Aku terangguk-angguk dan senyum pada mamat smart itu sekadar ambil hati kerana kesian pula dia kena sound percuma dari bos aku yang kaya dan kerek ini.

            “Awak jangan memandai nak tayang sengih pada mamat tu”. Tiba-tiba aku pula yang diberi amaran tatkala punggungnya sudah terhenyak di kerusi berdepan dengan aku. Mati sengih aku pada mamat yang berada di meja depan.

            “Bos….tadi bos juga yang pesan jangan bertengkar semasa makan. Sekarang ni siapa yang provok siapa?”. Si hotter guy terdiam dengar ayat yang keluar dari mulut aku. Dulu pun kami bertengkar kerana dia yang mulakan dulu. Dia serius saja sambil menyuap nasi beriani ke dalam mulut. Aku pula sudah menarik muka. Terasa dengan sikapnya. Akhirnya kami menikmati hidangan dengan diam seribu bahasa.


            “Bos…kalau tak ada apa-apa lagi saya nak naik ke bilik dulu. Nak tidur.” Kataku setelah kami selesai makan. Dia masih lagi menikmati pencuci mulut sebagai hidangan terakhir yang dinikmatinya itu. Melihat dirinya yang tiada reaksi. Aku sudah menolak kerusi untuk bangun.

            “Duduk dulu!”. Arahnya. Tindakanku jadi terbantut. Tak jadi aku hendak bangun dari kerusi. Akhirnya aku perkemaskan dudukku dan mataku mencerlung memandangnya yang selamba saja makan tanpa mengangkat muka melihatku. Hish…rimas dan naik bosan jadinya meneman manusia yang kerek sentiasa ini!.

            “Nurin memang anak tunggal?”. Tiba-tiba soalan itu terpacul dari bibirnya. Dia mengambil dan mengelap bibirnya dengan napkin yang terletak di sisi meja sambil tunak matanya merenung aku.

            “Ya”.

            “Mak dan ayah masih ada?”. Aku sudah berkerut dahi. Sesi temuduga lagikah?. Bukankah aku sudah melaluinya semasa memohon kerja di Berjaya Corporation. Kenapa nak disoal lagi?.

            “Kenapa bos nak tahu?. Saya rasa dalam cv saya semuanya dah jelas”. Balasku jengkel.

            “Saya nak tahu dari mulut Nurin sendiri”.

            “Mak masih ada, ayah saya tak tahu”. Jawabku malas. Dia kerut dahi tanda keliru.

            “Maksud Nurin?”.

            “Itu hal peribadi saya. Tak perlu bos nak tahu”. Akhirnya aku sudah berdiri. Malas nak bersoal jawab dengan bos mengenai hal peribadi aku. Lantas aku tinggalkan dia di meja makan dan berlalu pergi tanpa menoleh lagi. Biarlah kalau dia kata aku kurang ajar pada majikan. Memang aku tak ada hati nak bercerita hal peribadi aku pada orang kaya sepertinya. Aku tak mahu mereka bersimpati denganku. Lagipun orang kaya semuanya sama saja. Suka nak mengambil kesempatan pada orang miskin macam aku. 


            Menonong aku menapak ke arah pintu lif yang sedia terbuka itu. Tanpa melihat siapa lagi yang berada di dalam perut lif itu terus jariku menekan ke butang bernombor 7. Serentak itu ada tangan di belakangku yang menekan nombor yang sama.

“Sorry!”. Spontan pemilik suara itu meminta maaf padaku kerana tidak sengaja menyentuh jariku tadi. Aku angkat muka lihat pada gerangannya si pemilik suara garau itu. Macam pernah aku dengar sebelum ini.

“Eh…awak?”. Aku senyum pada mamat smart berambut ala askar itu. Dia balas senyumanku. Tak sangka boleh bertembung pula di dalam perut lif ini.

“Bilik kita sama level rupanya”. Dia menyambung kata-kata. Pintu lif terbuka, dan kami melangkah keluar bersama-sama.

“Mana pakwe awak?. Nanti tak pasal saya kena sembur lagi berjalan berdua dengan awek dia ni”. Katanya sambil mata tertinjau-tinjau mencari kelibat bos kerek aku.

“Ishkk…dia tu bukan pakwe saya. Tapi bos saya. Kami datang sini atas urusan kerja”. Balasku membetulkan tanggapan mamat smart ini. Tak kuasa aku nak jadi makwe bos kaya dan kerek itu.

“Oh…maknanya bolehlah saya tackle awek comel ni?”. Dia tutur begitu sambil ketawa. Aku hanya senyum. Seronok pula dipuji orang kerana comel. Perasan sekejap.

“Okeylah…awak. Saya dah sampai ni”. Aku mohon diri tatkala kaki sudah sampai di depan bilik hotel yang aku duduki ini.

“Seronok jumpa awak. Harap boleh jumpa lagi. Bilik saya kat hujung sekali”. Ucapnya sambil tangan menunjuk ke arah bilik yang berada di penghujung tingkat 7 ini.

“Minta diri eh…Asalammualaikum!”. Ucapku berdiri di depan muka pintu bilik.

“Waalaikumusalam”. Jawabnya. Kemudian dia melangkah pergi menuju ke biliknya. Aku memasukkan kad kunci lalu memulas tombol pintu. Lega rasanya bila ternampak tilam empuk di depan mata. Mata serta merta rasa berat. Namun memikirkan aku belum lagi menunaikan solat Isyak. Segera aku tanggalkan tudung yang menghiasi kepala lalu menuju ke bilik air.

Aku cuci muka dan gosok gigi. Wajah comelku terbias dicermin bilik air ini. Perasan sekejap bila aku lihat wajahku.

“Comel ke?.” Aku bersoal pada cermin.

“Perasan sungguhla Cik Nurin ni. Abang smart puji sikit dah lupa diri”. Aku menasihatkan diri pula.

“La…lupa pulak nak tanya apa nama abang smart tadi?”. Aku garu kepala yang tidak gatal.

“Sudah-sudahlah Cik Nurin oii…solat cepat jangan duk berangan ja”. Hati makin galak mengingatkan perintah yang belum aku tunaikan lagi. Segera aku mengambil wuduk untuk menunaikan solat pada Yang Esa.
 
                       

  

No comments:

Post a Comment