Friday 27 September 2013

Mr. Hotter Guy Bab 28

Bab 28

            “Seronok pergi Penang?”. Soal Shira saat aku rebahkan badan di sofa sambil mata ditalakan ke tv bersaiz 14 inci itu. Aku angguk malas pada pertanyaan Shira itu. Sebenarnya badan masih letih, maka minda pun turut letih juga.  Selesai saja urusan pertunangan ala sempoi pada pagi itu. Petangnya, aku dah mula naik bas untuk balik semula ke Kuala Lumpur. Kalau ikutkan hati memang aku tak nak balik ke sini. Tapi memikirkan mana nak ku cari 30k itu buat aku teruskan juga niat aku yang tinggal separuh hati ini.  Bila detik hitam itu bermain di mataku, hatiku jadi tidak keruan. Sekilas aku menilik pula cincin belah rotan yang tersarung di jari manisku. Aku pusing-pusingkan cincin itu, namun pandangan mata masih melekat di kaca tv.

            “Weh…cincin apa ni?”. Shira sudah memegang tanganku. Matanya tertancap pada cincin yang tersarung di jari manisku. Segera aku menarik tanganku dari pegangan Shira. Cuba hendak sembunyikan dari pengetahuannya.

            “Mana ada?”. Sangkalku.

            “Wei…nak tipu pun. Agak-agaklah..aku bukan buta.” Dia terus sambar tanganku lalu mata tak habis merenung cincin belah rotan yang pudar warnanya.

            “Cincin belah rotan ni. Tak akan kau bertunang kot? Bila masa kau bertunang ni?. Tapikan...apasal cincin kau buruk sangat”. Dalam Shira bersoal macam-macam, sempat pulak dia mengutuk cincin tunang aku. Segera aku jeling dia sekilas. Minah ni!...memang tak sayang mulut. Sesedap rasa saja mengutuk cincin pemberian bakal ibu mertuaku.

            “Ha..ah…aku dah bertunang semalam”. Balasku dengan wajah selamba. Membulat mata Shira terkejut mendengar jawapanku.

            “Biar betul?.” Dia soal aku tak percaya. Aku angguk lagi.

            “Dengan siapa?”

            “Aiman tak kisah”.

            “Hah…”. Dia tenung wajahku pula. Matanya merenung aku tajam. Cuba mencari kepastian di situ. Cara pandang memang dia macam tak berapa nak percaya dengan kata-kataku.

            “Betul…aku tak tipu. Kalau tak percaya…tanya mak aku”.

            “Cercita kat aku…macamana kau boleh terjebak dengan Aiman tak kisah ni?”. Shira kemaskan duduk. Memang bersemangat sungguh cara Shira itu untuk mendengar aku berkisah bagai.

            “Aku tak ada pilihan Shira. Ini saja cara yang aku buat untuk lari dari bos”. Kataku perlahan. Berkerut dahi Shira tidak faham dengan apa yang aku terangkan.

            “Hish…apa kes ni sampai nak lari dari bos ni?”. Air mata yang sudah bergenang di tubir mata, aku lap perlahan. Aku tunduk merenung jari manisku yang dihiasi cincin belah rotan ini. Adakah keputusan yang kubuat ini betul-betul dapat menyelamatkan aku dari si hotter guy yang gatal, jahat dan gila itu?. Aku melepaskan keluhan. Aku renung dalam anak mata Shira yang duduk didepanku ini. Aku pejam mata, lalu aku tarik nafas dan hembus perlahan. Aku buka mata.  Rasa sedikit tenang untukku mula berhikayat bagai pada Shira yang tak sabar untuk mendengar.



            TERKEJUT Datin Shima menerima kedatangan Puan Sri Khalida yang mengejut itu.  Dia baru sahaja berkira-kira untuk bertemu  tetamu yang satu  ini, tak sangka pula Puan Sri sudah berada di halaman rumahnya ini. Macam ada telepati pula. Dia bermonolog sendiri.

            “Jemput masuk, Puan Sri. I baru terfikir nak jumpa you. Tak sangka pula you sendiri datang rumah I”. Ujar Datin Shima berbasi-basa. Puan Sri Khalida tidak menjawab. Dia terus duduk di sofa kulit tanpa dipelawa terlebih dahulu. Mukanya serius dan tegang seolah sedang memikirkan satu masalah yang besar.

            “I nak tanya you sesuatu. Dan I nak you jawab betul-betul”. Puan Sri Khalida membuka mulut. Soalan yang keluar dari mulutnya buat jantung Datin Shima berdegup pantas. Gelabah wanita itu mendengar suara Puan Sri Khalida yang tegas dan keras itu.

            “Apa hal Puan Sri? Penting sangat ke? Kalau kena dengan soalannya, I pasti jawab dengan betul”. Balas Datin Shima sambil mengerut dahi. Tak pernah pula selama bersahabat dengan Puan Sri Khalida, dia melihat wanita ini tegang. Mungkin masalah yang melanda Puan Sri Khalida bukan masalah kecil atau boleh dibuat main-main. Dia rasa simpati. Tapi rasa simpatinya sekejap saja bertandang bila fikirannya menerawang kepada masalah melibatkan Luqman Hakimi dan anaknya Andrea.  Puan Sri Khalida nak batalkan peminangan?. Dia berteka teki sendiri. Tiba-tiba Datin Shima pula yang rasa tegang.

            “Betul ke Zaimah dah mati? Betul ke orang upahan you tu buat kerja?”. Soal Puan Sri Khalida serius. Matanya mencerlung tajam melihat Datin Shima yang agak resah itu. Tak sangka pula selepas berpuluh tahun, Puan Sri Khalida hendak mengungkit peristiwa lama yang makin dilupakan itu. Ingatkan masalah melibatkan Luke dan Andrea. Diam tak diam, Datin Shima menarik nafas lega.

            “Kenapa you? Benda dah lama. Kenapa you ungkit balik. You tak percaya ke? I ni bestfriend you tau…tak akan I nak menipu pulak”. Giliran Datin Shima pula menyoal. Pelik mendengar soalan Puan Sri Khalida mempertikaikan perkara yang pernah sama-sama mereka lakukan 25 tahun yang lalu.

            “Habis tu…kenapa suami I mati-mati marahkan I. Dia kata Zaimah masih hidup lagi. I yang sengaja sembunyikan perkara sebenar dari dia. Apa ni?. Macamana Zaimah boleh hidup pula. Bukan orang upahan you bakar rumah dia dengan dia-dia sekali dah jadi abu dalam kebakaran tu?”. Bagai peluru mesin gun, Puan Sri Khalida menyoal bertubi-tubi.

Terkesima  Datin Shima tidak dapat membalas setiap tujahan soalan itu. Memang dia dan Datin Shima sama-sama merancang kemalangan itu dan orang upahan Datin Shima yang melaksanakan tugasan. Dia sendiri rasa lega yang amat apabila melihat kuburan Zaimah. Alih-alih si suami mengkhabarkan madunya itu masih hidup. Memang dia terkejut. Memang dia marah. Memang dia tak puas hati. Habis selama ini rancangan yang dibuat 25 tahun dahulu adalah sia-sia.

            “Betul you. I sendiri tengok dengan mata kepala I masa Bakar dan konco-konconya bakar rumah tu. I tengok api menjulang tinggi saat rumah itu dimamah api. Tak akan I nak tipu pula. You sendiri pun ada bersama I. Tak akan you dah lupa kut?”. Datin Shima bersungguh-sungguh mempertahankan kata-katanya. Memang dia nampak dengan mata kepalanya sendiri. Tak akan matanya dah rabun kut. Itu, peristiwa yang berlaku 25 tahun yang lepas. Dia masih muda belia lagi saat itu. Matanya masih elok dan dia tidak nyanyuk untuk mengingati peristiwa itu. Puan Sri Khalida terdiam. Otaknya ligat berfikir. Antara kata-kata Datin Shima dan suaminya itu, siapa yang benar dan siapa yang salah. Seingatnya selepas dia dan Datin Shima sama-sama melihat rumah Zaimah di kampung mula marak dengan api yang menjulang mereka segera tinggalkan tempat itu. Selebihnya orang suruhan Datin Shima yang menyelesaikan semuanya.

            “Habis tu, apa yang suami I cakap tu tak betul?”. Suaranya yang meninggi tadi sudah mengendur semula. Dia tatap wajah Datin Shima sambil tangannya menongkat kepala. Pening memikirkan teka-teki yang melanda ini. Datin Shima hanya mengangkat bahu. Tak tahu hendak cakap apa lagi.

            “Kita cari Bakar. Kita cari dia. Hanya dia je yang tahu perkara sebetulnya!”. Arah Puan Sri Khalida pula. Dia sudah tersenyum. Lega memikirkan  kekusutan yang dialaminya ini dapat diselesaikan jika mereka ke temu Bakar. Datin Shima sudah cemberut wajahnya. Gila hendak mencari Bakar. Semenjak peristiwa itu, dia tak pernah berurusan lagi dengan Bakar. Dia tak mahu ada sebarang hubungan lagi. Takut andai peristiwa 25 tahun itu terbongkar dengan dia sekali bakal masuk penjara. Tak dapat dibayangkan seorang wanita berpangkat dan ibu kepada pelakon terkenal terlibat dalam skandal dan menghiasi muka depan surat khabar. Hish…minta dijauhkan.
          
  “Mana nak cari you?. I tak pernah jumpa Bakar selepas peristiwa itu. I pun tak tahu entah 
hidup atau mati si Bakar tu. Tak payah risaulah you. Memang Zaimah dah mati. I rasa suami you tu sengaja nak uji you. Sengaja nak mainkan perasaan you”. Datin Shima cuba berlembut. Cuba memujuk Puan Sri Khalida membatalkan niatnya.

Cari bala dan tak ada kerja agaknya hendak mencari Bakar dan membuka pekung yang sudah lama membusuk di dalam dada masing-masing. Gerutu Datin Shima lagi, tak puas hati. Semua itu diluahkan dalam hatinya saja. Cari nahas kalau terang-terangan diluahkan  pada Puan Sri Khalida. Alamat niatnya itu tak akan kesampaianlah jawabnya. Puan Sri Khalida hanya menarik nafas. Tapi dia memang yakin dengan kata-kata suaminya itu. Tak pernah sekalipun Tan Sri Hisyam mengungkit soal Zaimah. Cuma sejak kebelakangan ini saja, nama Zaimah mula disebut. Dia keliru sendiri.

“I kelirulah Shima. I takut kalau apa yang Tan Sri cakap tu betul. Tak dapat I bayangkan kalau Zaimah masih hidup. Tan Sri dah ugut I. Dia nak cari Zaimah sampai jumpa. Kalau I tak dapat terima Zaimah, tahulah dia nak ajar I macamana. I tak nak Luke menderita nanti. Kalau Zaimah masih hidup dan punya anak, macamana dengan kedudukan Luke. Mesti semua harta ini akan berpindah pada Zaimah nanti. Luke hanya anak angkat. Dia tak ada hak, Shima…”. Luah Puan Sri Khalida. Dia menekan berkali-kali kepalanya. Mungkin pening atau kusut memikirkan masalah yang bakal melanda nanti. Datin Shima ikut berubah air mukanya. Risau juga andai apa yang dikatakan Puan Sri Khalida itu betul. Kalau Luqman Hakimi sendiri tiada apa-apa hak pada harta milik Tan Sri Hisyam, buat apa dia bersusah payah untuk menyatukan Andrea dengan Luke nanti.

“Tak ada apalah you. I yakin suami you tu sengaja nak uji you. Dah tak payah risau. Buat apa nak fikir perkara yang tak pasti. Jom kita pergi kelab. Jumpa member sambil hibur hati. Tak adalah you nak fikir yang bukan-bukan lagi”. Datin Shima sudah menarik tangan Puan Sri Khalida supaya bangun. Tanpa banyak soal, Puan Sri Khalida hanya menurut. Dia perlu tenangkan hatinya yang kusut. Bertemu dengan kawan-kawan di kelab, sekurang-kurangnya dapat menghiburkan hatinya. Akhirnya dia mengekor Datin Shima.

Andrea yang tadinya hendak turun ke tingkat bawah, terbantut langkahnya saat mendengar perbincangan Puan Sri Khalida dengan ibunya. Berkerut-kerut dahinya cuba mentafsir setiap kata-kata yang keluar dari mulut mamanya si Luke. Siapa Zaimah? Dia berteka teki sendiri. Kalau betul apa yang didengarnya tadi, satu senyuman sudah tergaris di bibirnya. Tak disangka lelaki hati kering yang sentiasa berlagak itu hanya anak angkat. Bukan anak kandung konglomerat terkenal itu. Selama ini berlagak dengan harta kekayaan orang tua angkatnya saja.

“Huh…hotter guy konon. Hampeh!...lepas ni kau jangan nak berlagak lagi dengan aku Luke. You are not hotter guy…but hopeless guy…”. Andrea gelak sakan.

“Kalau selepas ini, lelaki hati kering itu cuba nak hina-hina aku. Tahulah apa aku nak buat”. Andrea melangkah turun ke tingkah bawah. Dalam hati, sudah tak sabar nak berjumpa Ariel Zen.

“So, lepas ni mummy tak boleh nak paksa-paksa aku. Siapa pilihan aku, mummy kena terima. Ariel Zen seratus kali lebih baik dari mamat hati kering tu”. Dia bercakap pada diri sendiri. Kemudian ketawa lagi. Kaki sudah melangkah keluar dari rumah dan menuju ke arah kereta Ford Fiesta rona merah itu.

“Darling I coming”. Dia ketawa lagi sambil membayangkan tubuh sasa Ariel Zen dalam pelukannya itu.



No comments:

Post a Comment