Sunday 2 February 2014

Mr. HOtter Guy Bab 30

Bab 30
      Bulat mata Tan Sri Hisyam sebaik saja dia melihat foto-foto yang diberikan penyiasat upahannya itu buat tatapan matanya. Dia meraup muka berkali-kali. Istigfar tak habis-habis diulang-ulang sebut di bibirnya. Kemudian dia peluk pula tubuh Berahim yang masih setia di sisi.
      “Alhamdulilah…Berahim. Alhamdulilah…” Dia raup mukanya lagi. Ada air mata yang mengalir di pipi tuanya itu. Berahim yang setia di sisinya, hanya menepuk mesra bahu Tan Sri Hisyam. Dia turut tersenyum kegembiraan melihat wajah ceria sahabatnya itu. Selama bekerja di sini, inilah kali pertama dia melihat wajah Tan Sri Hisyam yang ceria seperti bulan penuh itu.
      “Saya ke kampungnya di Sungai Petani 2 hari lepas. Sempat saya tanya pada orang-orang kampung di situ. Memang tak syak lagi, Puan Zaimah dan ayahnya berpindah ke situ dan membeli tanah 25 tahun yang lepas. Masa tu Puan Zaimah sedang mengandung anak sulungnya…Tan Sri”. Terang Bakri penyiasat upahan itu panjang lebar.
      “Saya sempat ambil gambar Zaimah sekeluarga. Itu pun secara curi-curi. Dengan khabar anaknya baru saja dilamar. Cuma saya tak pasti sama ada lamaran itu diterima atau tidak”. Sambung Bakri lagi. Tan Sri Hisyam  beralih duduk pula  menyandar di kerusinya. Dia masih mengamati foto-foto yang ada ditangannya. Wajah Zaimah masih seperti dulu, tidak berubah sedikit pun walau ada garis tua menghiasi dahi isterinya itu.
      “Nanti kita ke kampungnya Berahim. Aku dah tak sabar nak jumpa mereka. Aku dah tak sabar nak jumpa anakku”. Balasnya pula.
      “Sabar…Tan Sri. Cuba Tan Sri amati betul-betul wajah anak Tan Sri ini”. Arah Berahim pula pada salah satu foto yang terdampar di atas meja Chairman itu. Pantas mata Tan Sri Hisyam menala ke arah foto yang ditunjukkan Berahim.
      “Ya ALLAH…Berahim…hebatnya takdir ALLAH”. Tiba-tiba terletus kata-kata itu dari mulut Tan Sri Hisyam. Sungguh tak disangka, gadis yang disapanya di dalam lif tadi adalah anak gadisnya sendiri, Nurin Kamila Hisyam. Patutlah setiap kali dia bertentang mata dengan gadis itu seperti ada satu rasa yang amat payah untuk ditafsirkan. Dalam wajah itu ada wajah Zaimah. Sesungguhnya hanya ALLAH saja yang maha mengetahui. Dia beristigfar lagi.
      “Bakri..terima kasih atas siasatan awak itu. Nah…bayaran untuk khidmat awak”. Tan Sri Hisyam hulurkan cek buat khidmat Bakri selama ini. Tersungging senyuman puas hati dari Bakri apabila menilik jumlah kosong yang tertera pada cek yang diberikan Tan Sri Hisyam itu. Memang berbaloi. Desisnya dalam hati.
      “Tan Sri nak saya teruskan siasatan berkenaan peristiwa kebakaran tu. Nak saya cari siapa dalangnya?”. Soal Bakri pula. Andai dia meneruskan siasatan, tentu bayaran yang akan diterima berkali-kali ganda lumayan. Dia sengih pula. Pantas Tan Sri Hisyam menggeleng.
      “Buat masa ni…cukuplah dulu. Bila saya perlukan khidmat awak. Saya akan inform. Apapun saya ucapkan jutaan terima kasih atas khidmat awak. Memang bagus”. Puji Tan Sri Hisyam lagi. Kemudian mereka berjabat tangan tanda urusan sudah selesai. Tan Sri Hisyam memberi isyarat mata pada Berahim supaya mengiringi Bakri keluar dari pejabatnya. Dia terus kembali menatap foto-foto yang terdampar di atas mejanya. Baru tangan hendak mencapai foto milik Nurin Kamila, pantas pintu pejabatnya ditolak kasar dari luar. Berahim dan Bakri yang baru hendak memegang tombol pintu turut terkejut dengan tolakan kasar pintu pejabat milik Chairman Berjaya Corporations itu.
      Tan Sri Hisyam turut terkejut melihat wajah yang ada di depannya itu. Segera tangannya mencapai semua foto yang ada di atas mejanya lalu disembunyikan di dalam laci mejanya.
      “Maaf…Tan Sri…saya dah halang. Tapi mereka tak peduli. Habis dirempuhnya saya Tan Sri…”Adu wanita berbadan gempal merangkap setiausaha Tan Sri Hisyam itu.
      “Tak apa. Milah. Awak boleh keluar.” Arah Tan Sri Hisyam.
      “Berahim…iring Bakri keluar”. Berahim hanya mengangguk. Sebelum keluar sempat lagi Berahim menghadiahkan sebuah senyuman buat gadis comel bersama temannya itu.


“SAYA nak jumpa Chairman”. Pinta Shira pada wanita bertubuh gempal yang duduk di meja khusus tertulis ‘ Jamilah Kasim’. Barangkali  setiausaha Chairman agaknya.
“Atas urusan apa ye?...dah buat temujanji”. Soal Jamilah. Shira menggeleng. Aku yang ada di sisi Shira, turut menggeleng.
“Kalau macam tu…maaflah. Kamu berdua tak boleh jumpa kalau tak buat temujanji dulu”.
“Tak boleh puan”.
“Ehem…bukan puan tapi cik”. Wanita bernama Jamilah itu membetulkan panggilan yang diutarakan Shira. Hmm…nasiblah kalau terpanggil ‘puan’. Maklumlah pada tanda namanya tak ada pula diletakkan gelaran di situ.
“Maaf puan…err…cik…tapi ini urgent”. Kali ini aku pula yang bersuara. Sudah sampai tahap merayu. Memang aku dah tak boleh tahan lagi memikirkan apa yang berlaku pada aku pagi tadi. Kalau lama-lama dibiarkan, aku rasa lelaki gila 18sx itu akan sampai tahap kronik tak dapat dibendung pula. Aku yang bakal menjadi mangsanya nanti.
“Ish…tak faham bahasa agaknya. Saya kata tak boleh…tak bolehlah”. Cik Jamilah sudah meninggi suara. Shira dan aku hanya melopong. Percuma saja kena tengking hari ini. Aku sudah mula hendak melangkah balik. Sia-sia saja rasanya perancangan kami hendak jumpa Chairman, sedangkan depan setiausahanya lagi kami sudah ditengking sebegini. Apatah lagi hendak berdepan dengan Chairman.
“Sudahlah…Shira. Jomlah kita balik ke tempat masing-masing. Sia-sia saja. Nampaknya aku  kena tawakal sajalah”. Balasku sambil menarik lengan Shira supaya beredar dari situ. Shira masih berat untuk melangkah. Sebaliknya dia tarik lengan aku, menonong aku mengikut langkahnya yang laju.
“Kalau tak boleh cara elok, kita rempuh je. Ya tak ya pun, memang kita bakal kena pecat nanti”.
“Hish…nak kemana ni? Saya kata tak boleh…tak bolehlah”. Cik Jamilah sudah main tarik-tarik tangan Shira. Aku yang ada di sebelah hanya jadi pemerhati.
“Kau masuk je Nurin…biar aku je berdepan dengan Cik Jamilah tembam ni” Arah Shira pada aku yang sedikit blur ini. Baru nak melangkah Cik Jamilah sudah menghadang di depan pintu bilik Chairman pula. Serupa kami sedang main konda-kondi. Shira yang tak sabar itu terus merempuh tubuh gempal Cik Jamilah. Terduduk minah itu atas lantai. Segera Shira pulas tombol sambil menarik tangan aku untuk segera masuk ke bilik Chairman. Kalau lihat tingkah kami memang serupa samseng Kampung Dusun layaknya.
“Pakcik!”. Hanya perkataan itu saja terluah dari bibirku. Terkejut melihat Pakcik Hisyam duduk menyandar di kerusi Chairman Berjaya Corporations itu. Segak bergaya dengan kot dan tali leher yang menghiasi tubuhnya. Memang sekali pandang, sudah hilang gayanya sebagai peon di syarikat ini. Aku kalih pandang pada Pak Berahim yang berada di balik pintu. Terkejut melihat lelaki itu turut berada di situ. Tapi Pak Berahim hanya bersikap selamba. Dia  menghadiahkan aku sebuah senyuman sebelum dia melangkah keluar bersama kenalannya itu. Aku pula yang terkaku di situ. Kenapa mesti pakcik Hisyam peon syarikat ini yang duduk di kerusi Chairman itu?. Aku keliru sendiri. Penat otak memikir, adakah aku yang silap membuat andaian selama ini. Shira yang berada di sebelah sudah menyiku lenganku.
“Cakaplah…kan Chairman kat depan tu?”. Desak Shira. Aku pandang Shira sambil kerut kening.
“Chairman ke?. Bukan peon syarikat ni?”. Aku soal Shira semula inginkan kepastian. Berderai ketawa Shira tanpa dapat dikawal lagi. Memang hodoh sungguh lihat muka Shira yang berkerut-kerut ketawakan aku. Ini, kalau bakal mak mertua tengok, sahih cancel jadi menantu. Desisku menahan marah.   
      “Ada apa yang boleh saya bantu?”. Soalnya mesra. Aku masih lagi keliru. Betul ke Pakcik Hisyam ini chairman Berjaya Corporations?. Aku masih berteka-teki sendiri.
      “Saya nak jumpa Chairman!”. Balasku. Pakcik Hisyam hanya tersenyum. Barangkali lucu melihat aku  yang terkulat-kulat tidak pasti dengan siapa aku bercakap ini. Shira di sebelah sudah terjegil biji mata sambil berdeham. Marah barangkali kerana aku masih tidak mempercayai kata-katanya tentang lelaki yang berada di hadapan kami ini.
      “Sayalah Chairman!. Kenapa? Tak percaya?”. Soalnya bertubi-tubi. Namun air mukanya masih lagi ceria. Kalau orang lain, mesti aku sudah disembur atau diberi surat amaran kerana tidak mengenali orang paling atas di Berjaya Corporations ini.
      “Tapi…”
      “Isy…betullah mangkuk. Aku kerja satu level dengan Chairman. Hari-hari aku bertembung dengan dia. Kau tu yang tak ambil peduli langsung dengan orang paling atas tempat kau cari makan ni”. Sempat lagi Shira memarahi aku dengan suara yang ditahan-tahan.  Cuba nak cover line konon. Tapi volume suaranya dah serupa pakai pembesar suara. Aku alih pandang renung Shira. Ada ke patut dipanggilnya aku mangkuk. Ingat aku ni mangkuk tingkat ke?
      Pakcik Hisyam yang ada di depan mata sudah ketawa mengekek. Lucu barangkali melihat kami bertengkar mempersoalkan kedudukannya di Berjaya Corporations ini. Aku pandang wajah ceria Pakcik Hisyam yang sedang ketawa itu, spontan mataku meliar melihat sekeliling biliknya. Terbeliak  biji mata aku melihat gambar dia bersama pemegang saham Berjaya Corporation. Bos 18sx bersama Puan Sri Khalida turut ada dalam gambar itu. Serta merta aku tertelan air liur sendiri. Nampaknya aku sudah silap menilai orang.

  

No comments:

Post a Comment